SEPANG: Pasangan suami isteri yang juga pemilik syarikat sebuah agensi pelancongan direman selama tiga hari bermula hari ini selepas disyaki terbabit dalam penipuan umrah.
Peguam yang mewakili pasangan terbabit, Iman Norhizam berkata, mereka ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan membenarkan reman terhadap suspek selama tiga hari sehingga Sabtu ini.
“Selain pasangan terbabit, enam pekerja syarikat agensi pelancongan itu juga direman tiga hari,” katanya kepada media hari ini.
Iman berkata, anak guamnya memberi kerjasama baik kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan.
Semalam, media melaporkan pasangan berusia 31 tahun itu ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kira-kira jam 7 petang, selepas mengadakan sidang media bersama sebuah organisasi bukan kerajaan, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak tujuh laporan polis diterima membabitkan kesalahan penipuan pakej umrah dengan keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM2.1 juta yang dialami 379 mangsa.
Siasatan awal mendapati syarikat ini mula menjalankan perniagaan semenjak tahun 2022, namun berpindah ke premis tiga tingkat di Sepang, sejak Oktober tahun lalu.
Selasa lalu, kecoh di media sosial apabila kira-kira 300 jemaah umrah terkandas apabila mereka dijanjikan untuk diterbangkan ke tanah suci namun ditunda syarikat pengendali umrah.
Berikutan itu, Pengarah Urusan syarikat terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka dan menawarkan tiga penyelesaian termasuk pemulangan 100 peratus pengembalian wang jemaah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.