Tumpuan :
Nasional

Kes tipu tapak bazar, ceti haram antara aduan tertinggi dalam tempoh seminggu Ramadan

PPIM menerima banyak rungutan berkaitan manipulasi di bazar Ramadan termasuk sewaan tapak serta harga makanan yang mahal dalam tempoh seminggu Ramadan. – Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Aduan mengenai penipuan tapak bazar Ramadan dan ceti haram antara yang tertinggi dilaporkan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sepanjang tempoh seminggu Ramadan, tahun ini.

Setiausaha Kerja PPIM, Zharif Johor berkata, pihaknya menerima banyak rungutan berkaitan manipulasi di bazar Ramadan termasuk sewaan tapak serta harga makanan yang mahal.

Antaranya membabitkan hak milik tapak yang dipindahkan kepada pihak ketiga tanpa kebenaran sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peniaga.

“Ini akan menjadikan persaingan secara tak sihat serta mengambil hak orang lain juga. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), disarankan untuk menyenarai hitam mana-mana peniaga dan pihak ketiga yang menyewa tapak bazar secara tidak sah,” katanya.

Zharif berkata, PBT perlu mengambil tindakan yang serius tanpa menggunakan khidmat guaman kerana kes tersebut tidak akan selesai dan penipu dapat melepaskan diri daripada tindakan.

“Isu ini akan terus berlanjutan jika kes ini hanya melalui proses mahkamah sahaja dan tiada pihak yang menyenarai hitam pengarah dan syarikat penipuan ini.

“Mereka membuka fail mahkamah dan mereka membayar kos guaman. Selepas selesai kes mereka akan terus ulang buat penipuan yang sama,” katanya.

Menurutnya, hal ini berlaku kerana kesan peniaga tidak mendapat tapak niaga dan mengharapkan sewa tapak dari pihak ketiga.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan peniaga supaya lebih berhati-hati dan menjadi pengguna yang bijak daripada menjadi mangsa scam kewangan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, ceti haram dikesan aktif mencari mangsa seawal minggu pertama Ramadan dan ia dijangka berlarutan sehingga selepas Aidilfitri.

Katanya, seperti sebelum ini, PPIM menjangkakan jumlah aduan akan meningkat sebanyak 30 peratus selepas hari raya kerana ramai yang meminjam untuk menampung keperluan harian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini