Tumpuan :
Nasional

Kes tipu isteri Along Cham, 12 individu dirakam keterangan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR: Seramai 12 individu sudah dirakam keterangan setakat ini, bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan berjumlah RM95,180 yang dilapor isteri kepada pelawak, Along Cham.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Menurutnya, ketika ini siasatan sedang dilakukan terhadap beberapa akaun yang disyaki digunakan dalam penipuan berkenaan.

“Bagaimanapun setakat ini tiada sebarang tindakan pembekuan akaun mengikut Akta Pencegahan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001,” katanya, di sini semalam.

Beliau berkata, wanita berusia lingkungan 20-an yang ditahan sebelum ini diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sabah bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pelaburan perniagaan yang tidak wujud di negeri berkenaan.

Katanya, semakan turut mendapati suspek mempunyai tujuh kes penipuan di lima negeri berbeza membabitkan keseluruhan kerugian berjumlah RM161,355.

Terdahulu media melaporkan, isteri kepada pelawak tampil membuat laporan polis terhadap seorang wanita, atas dakwaan menipu wang berjumlah RM95,180.

Wang itu diserahkan dengan niat untuk membantu membebaskan suaminya daripada tahanan.

Susulan itu, polis menahan suami isteri berhubung kes penipuan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini