Tumpuan :
Nasional

Kes tetak di Johor Bahru: Mangsa dan suspek berada dalam keadaan mabuk

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Mangsa dan suspek dalam kes tetak yang berlaku berhampiran Merlin Tower, Jalan Meldrum di sini petang semalam berada dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kedua-dua mereka saling tidak mengenali dan sedang melepak minum minuman keras di lokasi kejadian.

Beliau berkata, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun dan suspek dilaporkan bergaduh mulut sebelum membawa kepada kejadian tetak itu.

“Siasatan lanjut mendapati punca kejadian disyaki akibat pergaduhan mulut di antara kedua-dua pihak yang pada ketika itu berada dalam keadaan mabuk,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kejadian pergaduhan bersenjata membabitkan dua lelaki itu dilaporkan orang awam pada jam 2.29 petang.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang tidak berkerja parah di bahagian kepala dipercayai ditetak dengan senjata tajam dan mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, sebelum ditahan wad untuk rawatan lanjut.

“Suspek pula seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun yang bekerja sebagai tukang besi dan ditahan di lokasi kejadian,” katanya.

Raub berkata, pihaknya turut merampas pisau pemotong daging yang disyaki digunakan suspek dalam kejadian itu dan suspek didapati positif methaphetamine.

Tambahnya suspek mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah, manakala mangsa juga mempunyai empat rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Kita akan mendapatkan tempoh tahanan reman terhadap suspek di mahkamah hari ini,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini