Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Polis akan mendapatkan nasihat Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung perintah terbaharu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang memerintahkan agensi itu menyelesaikan siasatan kes kematian mendiang Teoh Beng Hock dalam tempoh enam bulan.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, pihaknya akan meneliti semula kertas siasatan sekiranya terdapat saksi baharu yang tampil bagi membantu siasatan.
“Memang kita ada menubuhkan, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) kita ada siasatan dijalankan seperti arahan diberikan.
“Kita cuba mendapatkan keterangan baru sekiranya ada saksi-saksi tampil ke hadapan bagi tambah nilai siasatan tersebut.
“Siasatan itu sebelum ini telah pun pihak PDRM jalankan dan telah merujuk kepada pihak AGC, dan buat masa sekarang kita akan dapatkan nasihat daripada AGC untuk merujuk semula kertas ini dan melihat keterangan ada untuk kita lengkapkan Insya-Allah,” jelasnya.
Tambah Razarudin, siasatan itu akan diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin.
Mengenai tempoh enam bulan diberikan, jelasnya beliau yakin siasatan itu mampu dilengkapkan.
“Buat masa ini kita melihat kepada saksi-saksi yang ada, pasal siasatan kita awal itu pun itulah saksi yang ada.
“Memang kita boleh capai, siasatan kita pada mulanya dirasai oleh pihak kita, kita telah lengkapkan sepenuhnya, ini sudah 15 tahun siasatan ini berjalan.
“Kertas siasatan ini telah turun naik pejabat AGC, ini adalah arahan terbaharu Mahkamah Tinggi jadi kita patuh tapi perbincangan tentang keterangan yang ada dengan AGC itu sangat penting bagi kita meneruskan siasatan,”katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini hari ini.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan berhubung kematian Beng Hock dalam tempoh enam bulan.
Ia selepas Mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang Beng Hock mendapatkan perintah mahkamah supaya polis melengkapkan siasatan kematian anak mereka pada tahun 2009.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.