Tumpuan :
Nasional

Kes tembakan di Tanjung Rhu: Seorang lagi warga Indonesia maut

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. – FOTO: NSTP

GOMBAK: Seorang lagi warga Indonesia yang kritikal dalam insiden tembakan di perairan Tanjung Rhu, Banting pada 24 Januari lalu, meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki itu meninggal dunia pada awal pagi menjadikan dua individu maut dalam insiden berkenaan.

Menurutnya, selain itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) juga berjaya menahan dua lagi individu yang dipercayai berada dalam bot pada hari kejadian, baru-baru ini.

“Saya pernah beritahu (sebelum ini) dalam bot, ada lagi individu-individu yang larikan diri (susulan itu) dalam operasi PGA di kawasan berkenaan, Pulau Carey, pihak PGA (menahan) beberapa individu (dan) dua daripada mereka (adalah individu) dalam bot berkenaan (pada hari kejadian).

“Dua individu itu warga Indonesia dan berusia 30-an. Setakat ini kita sudah merekodkan keterangan seramai 31 individu (berhubung kes itu) membabitkan semua (pihak termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia),” katanya pada sidang media Op Palu, di sini, hari ini

Hussein berkata, kertas siasatan juga telah lengkap dan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

“Kita juga masih mengesan seorang lagi warga Indonesia (yang diburu) dan turut mendapatkan kerjasama Kedutaan Indonesia di Malaysia untuk mengesan individu terbabit,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, lima lelaki yang ditembak di perairan Tanjung Rhu, dilaporkan menyerang pegawai Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sedang melakukan rondaan.

Seorang daripada mereka dilaporkan maut.

Turut dilaporkan Hospital Sultan Idris Shah (Hospital Serdang) menerima tiga lelaki dipercayai warga Indonesia yang mengalami kecederaan akibat ditembak.

Selain itu, polis menahan seorang daripada dua lelaki warga Indonesia berhubung insiden tembakan di Tanjung Rhu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini