Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu saki-baki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai terlibat dalam serangan ke atas anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Tanjung Rhu, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata serangan itu menyebabkan anggota maritim terbabit terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.
“Siasatan awal yang kita kesan sekarang, kumpulan ini melibatkan lima orang. Mungkin ada lagi lebih ramai daripada itu dalam bot kerana kapasiti bot tersebut antara 15 hingga 20 orang.
“Adakah mereka cuba melanggar bot APMM, ataupun menggunakan senjata seperti parang atau bentuk senjata lain untuk menyerang APMM, semua itu masih dalam siasatan lagi,” katanya.
Empat yang cedera kini berada dalam keadaan stabil, dan setakat ini polis telah merakam keterangan seorang daripada mereka.
Dalam kejadian awal pagi semalam, seorang maut manakala empat lagi warga Indonesia cedera dalam kejadian tembak di kawasan perairan Tanjung Rhu, Banting, Kuala Langat.
Kejadian berlaku kira-kira jam tiga pagi, ketika sepasukan anggota maritim (APMM) melakukan rondaan dan bertembung dengan bot yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin yang cuba keluar dari perairan negara.
Mangsa yang maut adalah warga Indonesia, dan tiada anggota APMM yang tercedera dalam insiden itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, selain Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.