Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Malaysia sedia mencari penyelesaian segera berhubung insiden tembakan membabitkan lima lelaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia yang berlaku di perairan Tanjung Rhu, Banting pada 24 Januari lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia akan bertindak adil demi memelihara hubungan diplomatik kedua-dua negara.
“Kita harus bersikap adil kepada mereka (Indonesia). Tindakan perlu dilakukan ke atas ketidaksengajaan atau atas kesengajaan yang berlaku.
“Saya harap ianya (insiden tembakan) tidak akan jejaskan hubungan diplomatik dengan pihak Indonesia dan perlu cari penyelesaian segera,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata kelima-lima PATI berkenaan ditembak berikutan tindakan mereka yang menyerang pegawai Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sedang melakukan rondaan.
Bot yang dinaiki suspek dilaporkan telah melanggar bot Maritim sebanyak empat kali sebelum dua daripada mereka cuba menyerang pegawai penguat kuasa dengan parang.
Atas faktor keselamatan dan mempertahankan diri, pegawai Maritim melepaskan tembakan ke arah bot dinaiki suspek yang kemudian melarikan diri dalam gelap.
Dalam pada itu, kira-kira 100 individu di Jakarta telah bertindak agresif melemparkan telur di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta semalam sebagai tindak balas terhadap insiden berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.