Oleh Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan kebenaran menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan salah dan hukuman.
Justeru itu, peluang Najib bebas daripada kesalahan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. terkubur.
Keputusan itu dibuat dengan majoriti 4-1 dengan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Nordin Hassan menyokong.
Ketua panel tersebut Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli menentang keputusan tersebut.
Najib memfailkan permohonan untuk mendapatkan semakan itu pada 6 September 2022 selepas tidak berpuas hati dengan keputusan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Permohonan kebenaran bagi semakan itu dibuat mengikut Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
Najib diwakili peguam senior, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Datuk V Sithambaram bertindak sebagai responden yang mewakili Pendakwa Raya dalam permohonan semakan itu.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati bekas perdana menteri itu bersalah di atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.
Mohd Nazlan sehubungan itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos tahun lalu.