KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menghentikan siasatan kes membabitkan pemain Selangor FC, Faisal Halim, yang parah disimbah asid dalam kejadian pada 5 Mei lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya juga tidak berhenti daripada berusaha mencari sebarang maklumat baharu yang dapat membantu siasatan kes itu.
Menurutnya, sejak siasatan dibuka pada Mei lalu, seramai 23 individu sudah diambil keterangan serta menahan tiga suspek bagi membantu siasatan.
“Daripada tangkapan dilakukan itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman membuat siasatan secara terperinci, namun tiada bukti dapat mengaitkan ketiga-tiga suspek dengan kes terbabit.
“Hasil analisis forensik terhadap telefon ketiga-tiga suspek mendapati tiada bukti atau perbualan yang mereka terlibat dalam kes itu.
“Malah, pihak JSJ juga melakukan pemeriksaan terhadap akaun-akaun bank mereka (suspek), namun tiada sebarang transaksi wang meragukan atau upah bayaran ditemukan,” katanya ketika dihubungi BH Online, hari ini.
Media semalam melaporkan, kerajaan Selangor masih menunggu laporan siasatan insiden simbah asid terhadap Faisal atau nama sebenarnya Muhammad Faisal Halim.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Najwan Halimi dilaporkan berkata, pihaknya juga tidak menerima maklum balas dari PDRM berhubung kes itu.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, Selangor, semalam dengan Najwan berkata, Speaker DUN Selangor sudah menulis surat kepada pihak polis memaklumkan usul yang dipersetujui secara konsensus pada sidang DUN terdahulu Julai lalu.
Dalam surat itu, DUN Selangor meminta siasatan menyeluruh dibuat dan laporan hasil siasatan berkenaan didedahkan kepada umum.
Tambah Razarudin lagi, pemeriksaan terhadap nombor plat motosikal digunakan suspek dalam kes itu juga didapati palsu.
Malah, katanya polis turut meminta bantuan orang ramai dengan mengeluarkan fotofit suspek, bagaimanapun setakat ini tiada maklumat yang benar-benar dapat membantu siasatan.
“Walaupun pelbagai usaha dibuat pihak polis, kita tidak pernah menghentikan siasatan dan menunggu sekiranya terdapat maklumat baharu bagi kes ini.
“Justeru, kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil dan menyalurkannya kepada pihak polis,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.