Tumpuan :
Nasional

Kes samun kilang: 16 ditahan, sepucuk pistol dirampas

SHAH ALAM: Sekumpulan 16 lelaki termasuk dua warga China ditahan di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, dekat sini, minggu lalu selepas disyaki menyamun sebuah kilang.

Ketika operasi pada 9 November lalu itu, polis turut merampas sepucuk pistol dan 20 butir peluru hidup selain sebilah parang, sebuah kereta dan lori berisi muatan kepingan logam serta barangan lusuh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintenden Mohd Sufian Amin berkata tangkapan itu dibuat susulan laporan diterima daripada pengurus kilang pada jam 2.30 petang hari kejadian.

Katanya, menurut pengadu dia menerima panggilan daripada pekerja memberitahu kilang mereka didatangi sekumpulan lelaki yang merampas kepingan logam dan barang lusuh di situ.

“Siasatan mendapati, suspek memuatkan kepingan logam dan barang lusuh itu ke atas sebuah lori yang dibawa bersama mereka tanpa kebenaran pihak kilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Sufian berkata, kira-kira jam 3.30 petang hari yang sama, sepasukan polis berjya menahan 14 lelaki tempatan dan dua lelaki warganegara China.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati, senjata api yang dirampas itu dimiliki secara sah dan mempunyai lesen dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Semua suspek lelaki ini berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun direman selama tiga hari sehingga 12 November di lokap Balai Polis Banting bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Mohd Sufian berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenalpasti pembabitan semua suspek.

Katanya, kes mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan & Senjata Berbahaya 1958.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini