Oleh: Ing Boon Seng
PETALING JAYA: Tindakan pantas polis berjaya menahan lapan suspek bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan di sebuah rumah di Pandamaran, Klang, Selangor yang mengakibatkan kerugian lebih RM600,000 Khamis lalu.
Tangkapan dilakukan hasil beberapa siri serbuan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.
Sumber memaklumkan kepada Buletin TV3, tangkapan pertama dilakukan tidak lama selepas kejadian membabitkan suspek berusia 23 tahun.
Siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi suspek di sekitar Klang.
@buletintv3 Tindakan pantas polis berjaya menahan lapan suspek bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan di sebuah rumah di Pandamaran, Klang, Selangor yang mengakibatkan kerugian lebih RM600,000 Khamis lalu. #BuletinTV3 #SamunBerkumpulan #Pandamaran
Ini membawa kepada serbuan susulan di Negeri Sembilan dan enam lagi suspek ditahan.
Difahamkan beberapa senjata yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.
Usaha memburu saki-baki anggota kumpulan itu yang masih bebas giat dijalankan.
Dalam kejadian awal pagi Khamis lalu, sekumpulan lelaki dianggarkan seramai 10 hingga 12 orang memecah masuk dan menyamun sebuah keluarga di Pandamaran.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek-suspek yang dipercayai warga tempatan itu tiba di hadapan rumah mangsa menaiki dua buah kereta.
Kesemua suspek memakai pelitup muka dan bersenjata parang kemudian memanjat tembok pagar serta menarik pintu jeriji sebelum masuk ke dalam rumah.
Suspek bertindak mengikat tiga penghuni rumah sebelum menggeledah barangan.
Salah seorang mangsa sempat menghubungi polis dan sejurus kereta peronda polis tiba di lokasi, dua buah kereta suspek segera meninggalkan lokasi.
Seorang mangsa dilapor mengalami kecederaan dan menerima rawatan di hospital.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.