Tumpuan :
Nasional

Kes saman Muhyiddin terhadap Puad mula dibicara pada Ogos

KUALA LUMPUR: Kes saman bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi, akan dibicara selama lima hari bermula 14 Ogos ini.

Ia berhubung kenyataan fitnah perintah kuarantin membabitkan Muhyiddin.

Peguam bela Mohd Puad, Shahrul Fazli Kamarulzaman, berkata tarikh berkenaan diputuskan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Haslinda A Raof, ketika pengurusan kes secara dalam talian hari ini.

“Ketika pengurusan kes itu, ada permohonan defendan (Mohd Puad) untuk meminda pernyataan pembelaan berkenaan kandungan 58, manakala plaintif (Muhyiddin) memohon meminda pernyataan tuntutan berkenaan kandungan 61.

Pendengaran kandungan terbabit akan didengar pada jam 9 pagi, 11 April ini menerusi aplikasi Zoom,” katanya pada BH, hari ini.

Selain Shahrul Fazli, Mohd Puad diwakili peguam, Intan Hanis Afiqah Razali manakala Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) diwakili peguam, Tan Chee Khoon.

Menerusi writ saman yang difailkan dalam kapasiti peribadi, Muhyiddin mendakwa pada 8 Februari tahun lalu, Mohd Puad menerbitkan satu hantaran di laman Facebook di bawah nama ‘Dr Puad Zarkashi’ bertajuk ‘Kuarantin pun ada dua darjat?’.

Pengerusi PN itu mendakwa hantaran itu boleh diakses oleh pengguna internet di seluruh dunia dan menerima 1,200 reaksi, 215 komen serta 182 perkongsian.

Hantaran itu merujuk kepada ‘PM’ yang adalah singkatan kepada Perdana Menteri dan mengandungi kenyataan tidak benar, tidak wajar, tidak berasas, jahat serta memfitnah beliau.

Muhyiddin mendakwa, kenyataan itu membawa maksud bahawa beliau dan rombongannya enggan menjalani kuarantin selama 10 hari selepas mereka pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia.- Berita Harian

Loading...
Terkini