
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah merekodkan keterangan 36 individu dalam siasatan terhadap kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut sumber, seramai 32 saksi dan empat bekas pegawai Ismail Sabri yang ditahan sebelum ini sudah dirakam percakapan setakat semalam.
“Sementara itu, seramai 23 saksi baharu akan dipanggil dalam masa terdekat ini untuk dirakam keterangan.
“Empat lagi saksi dalam proses rakaman percakapan,” katanya kepada Harian Metro hari ini.
Sumber berkata, berhubung status dokumen bank, permohonan dengan agensi sudah dilakukan dan agensi terbabit masih dalam usaha penyediaan untuk diserahkan kepada SPRM.
Jumaat lalu, pegawai penyiasat SPRM menemubual seorang doktor bergelar Datuk di sebuah hospital di Petaling Jaya yang merawat Ismail Sabri bagi mengetahui sejauh mana tahap kesihatan Ahli Parlimen Bera itu.
Ismail Sabri sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada Jumaat lalu namun beliau tidak hadir kerana dikatakan masih tidak cergas untuk berbuat demikian.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, proses rakaman percakapan itu ditunda kepada Rabu ini kerana masih diberikan sijil cuti sakit (MC).
Pada 10 Februari lalu, Ismail Sabri sudah menghantar maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Februari lalu.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
SPRM dilaporkan menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa, antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.