KOTA BHARU: Kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada Pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan lanjut berkaitan kes seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dipukul orang ramai di Chukai, Terengganu, baru-baru ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, menyatakan bahawa beliau menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk mengambil langkah sewajarnya.
Beliau turut meluahkan rasa kesal terhadap insiden yang menimpa mangsa.
“Seharusnya perkara seperti ini (pukul OKU) tidak sepatutnya berlaku. Ada yang menulis dalam media sosial bahawa menghukum itu tidak boleh diswastakan dan saya sangat terkesan dengan ayat itu.
“Kita tidak boleh menghukum (pukul) walau apa yang berlaku. Kita tidak boleh ambil tindakan sendiri dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan,” katanya pada sidang media di sini.
Beliau mengulas kes lelaki OKU dipukul orang awam selepas dikatakan melanggar gerai jualan dekat Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Terengganu pada 9.30 pagi, Jumaat lalu.
Insiden itu menyebabkan barangan jualan peniaga tumpah dan terjatuh sebelum lelaki OKU itu dipercayai dipukul sekumpulan individu.
Polis kemudiannya menahan lima lelaki dipercayai suspek yang memukul mangsa.
Terdahulu, Fahmi beramah mesra dengan Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) di Ayang Cafe di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden KEMUDI, Muhammad Yatimin Abdullah dan Timbalannya, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi.
Fahmi berkata, beliau difahamkan beberapa individu berkaitan kejadian sudah ditahan oleh pihak berkuasa, setakat ini.
“Sekiranya pihak polis mendapati ada kesalahan yang berlaku, maka terserah kepada Pejabat Peguam Negara untuk membawa kes itu ke mahkamah,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.