Tumpuan :
Nasional

Kes pukul: Lelaki OKU keluar hospital, tak sabar tunai umrah Februari depan

Lelaki OKU yang dipukul di pasar tani di Chukai, Kemaman, 17 Januari lalu. – Foto Tular

KUALA TERENGGANU: Lelaki kurang upaya (OKU) yang menjadi mangsa pukul di pasar tani Padang Astaka, Chukai, dibenarkan pulang semalam, selepas menjalani rawatan lebih 10 hari di Pusat Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Isterinya, Faridah Abdul Karim, 44, berkata kesihatan suami, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, kini dalam keadaan baik selepas cedera dipukul sekumpulan peniaga di pasar tani berkenaan pada 17 Januari lalu.

“Suami dibenarkan keluar hospital petang semalam dan kami terus pulang ke Kemaman.

“Keadaan kesihatannya semakin pulih dan dia sebenarnya tidak mengingati insiden dipukul sekumpulan lelaki atas dakwaan melanggar gerai mi di pasar pagi Chukai Jumaat lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 17 Januari lalu, Ahmad Nor cedera dipercayai dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga dan pembeli di pasar tani Padang Astaka Chukai, Kemaman, selepas mangsa yang menunggang motosikal dikatakan terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan makanan tumpah.

Mengulas lanjut, Faridah berkata, suaminya tidak sabar untuk ke Tanah Suci pada 17 Februari depan bagi mengerjakan umrah yang ditawarkan sebuah syarikat.

“Kami akan pergi mengerjakan umrah bertiga iaitu saya, suami dan anak lelaki, Ahmad Fakhrie, 19,” katanya.

Faridah berkata, sebuah lagi syarikat turut menawarkan tajaan kepada keluarganya untuk menunaikan umrah tetapi mereka belum membuat keputusan dan masih dalam perbincangan.

Sementara itu, beliau berkata, setakat ini tiada ahli keluarga atau individu yang terbabit memukul suaminya menghubunginya meminta maaf atau mengajak untuk mengadakan perbincangan berhubung kes itu.

“Seluruh ahli keluarga membuat keputusan menyerahkan 100 peratus kes itu kepada peguam,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini