comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes penipuan wang tunai eBelia Rahmah – 14 laporan polis diterima

Foto: hiasan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 14 laporan polis setakat ini, berkaitan kes penipuan wang tunai eBelia Rahmah membabitkan kerugian RM2,800.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jelas beliau, sindiket menawarkan perkhidmatan memindahkan wang dari akaun e-dompet kepada akaun bank mangsa.

“Mangsa melihat tawaran perkhidmatan pengeluaran wang tunai eBelia Rahmah di TikTok dan Facebook Messenger sebelum menghubungi suspek.

“Suspek kemudian meminta mangsa untuk membuat imbasan pada kod QR yang diberikan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ramli berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati wang dari e-dompet miliknya dipindahkan keluar dan tiada sebarang kemasukan wang ke dalam akaun banknya.

Susulan itu, katanya, mangsa cuba menghubungi suspek namun gagal,” katanya setiap mangsa kerugian RM200.

Program eBelia Rahmah adalah inisiatif kerajaan yang diumumkan di bawah Belanjawan 2023 bagi memupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia.

Ia juga bagi meringankan beban kewangan golongan berusia 18 hingga 20 tahun dan pelajar insititut pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa.

Melalui program itu, RM200  dikreditkan kepada akaun e-dompet kira-kira dua juta penerima bermula 26 Jun lalu  untuk digunakan bagi pembelian fizikal di premis perniagaan melalui penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat, iaitu Boost, Setel dan Touch n Go eWallet.

Dalam terma dan syarat program, bantuan RM200 itu tidak boleh ditunaikan atau dipindahkan kepada akaun lain dan tindakan akan diambil sekiranya penerima berbuat demikian.

Loading...
Terkini