Oleh: Hilmi Abdul Malik
SHAH ALAM: Polis akan menumpukan aspek pengambilan dadah atau isu perselisihan faham susulan kes penemuan mayat reput seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, Yap Xin Yuan di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Sungai Changgang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, pihaknya masih menantikan laporan penuh toksikologi sebelum meneliti motif kejadian.
Ketiga-tiga individu yang ditahan masing-masing berusia 16,20, dan 51 tahun bagaimanapun negatif dadah hasil pemeriksaan pihak polis.
“Selagi tak dapat keputusan toksikologi kita tak boleh kata dia (mangsa) ada ambil dadah atau overdose. Kita masih tunggu keputusan bedah siasat sebab kematian dia.
“Kita percaya teman lelaki dia terlibat sama ada orang lain ada bantu dia kita masih dalam siasatan lagi,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Mengulas lanjut, keadaan mayat yang reput juga menyukarkan proses pengecaman selain untuk memperinci kesan kecederaan fizikal terhadap mangsa.
Kehilangan remaja berkenaan mula terbongkar setelah mayatnya ditemui di perangkap sampah Kampung RTB Sungai Changgang pada 30 Disember tahun lalu.
Mangsa dilaporkan hilang selepas menghadiri latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang Batu 11, Cheras, 19 Disember tahun lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.