KUALA TERENGGANU: Polis meminta orang ramai menghentikan penyebaran mesej palsu berkenaan cubaan menculik kanak-kanak berhampiran stesen minyak di Bukit Tunggal, Kuala Nerus.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan berita tular itu adalah palsu dan setakat ini tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian yang didakwa berlaku pada 3.30 petang Isnin.
“Berita itu palsu dan tidak betul semuanya, jangan sebar dan tular berita yang tidak sahih (hingga timbulkan kebimbangan masyarakat).
“Jika berlaku kejadian atau cubaan penculikan, sila tampil dan laporkan kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial yang mendakwa berlaku kejadian cubaan menculik berhampiran sebuah stesen minyak di Bukit Tunggal, Kuala Nerus.
Suspek dikatakan menaiki Perodua Myvi berwarna biru cuba mengejar seorang pelajar sekolah namun mangsa berjaya melarikan diri ke gerai pisang goreng.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.