Oleh: Ing Boon Seng
PETALING JAYA: Polis menggunakan semaksimumnya peruntukan undang-undang sedia ada bagi merungkai kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ini termasuk menggunakan segala elemen yang dimiliki PDRM dalam menyelesaikan kes berkenaan.
Tambah beliau, sejak kes kehilangan mangsa berlaku pada 5 Disember tahun lalu dan disusuli penemuan mayat mangsa sehari kemudian, pihaknya telah menggerakkan seluruh pasukan siasatan untuk kes berkenaan.
Ini termasuk mengumpul segala bukti dan keterangan saksi yang berkaitan.
Malah pihaknya turut menubuhkan pasukan siasatan khas yang diketuai 3 pegawai bagi mengkaji semua bahan bukti yang diperoleh sepanjang 6 bulan kes itu berlarutan.
Pasukan itu katanya juga meneliti ribuan muka surat kertas siasatan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rakaman kamera papan pemuka kenderaan, bukti forensik serta keterangan saksi.
Hasilnya telah membawa kepada penahanan dua suspek yang juga ibu bapa mangsa pada 31 Mei lalu.
Jelas beliau, sepanjang tempoh reman, pihaknya menggunakan peruntukan dibawah Seksyen 28A (8) Kanun Tatacara Jenayah yang memberikan kuasa kepada polis untuk menafikan hak suspek bertemu peguamnya.
Bahagian 5 Kuasa Istimewa Siasatan seksyen berkenaan juga memberi kuasa kepada pihak polis untuk berbuat demikian ketika siasatan.
Polis katanya juga mengguna pakai Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950 untuk keterangan suspek yang diperolehi ketika masih dalam tahanan.
Ini bagi memastikan pendedahan yang dibuat suspek sepanjang siasatan mempunyai kebolehterimaan di mahkamah kelak.
Jelas beliau, hasil perbincangan mendalam dan bersandarkan segala bukti yang ada, pihak Timbalan Pendakwa Raya semalam memutuskan akta yang paling sesuai buat masa ini untuk mendakwa kedua-dua suspek adalah mengikut 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan bukannya dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan siasatan pihaknya telah selesai namun secara berkias merumuskan pihak polis sebenarnya “sudah hampir, tetapi masih jauh” untuk kes berkenaan.
Apapun tegasnya, jika ada arahan daripada pihak pendakwaan berdasarkan perkembangan perbicaraan dan keterangan saksi di mahkamah kelak, pihaknya bersedia melakukan siasatan lebih lanjut.
Datuk Seri Mohd Shuhaily turut merakamkan penghargaan kepada anak buahnya yang telah bertungkus-lumus dan berhempas pulas sepanjang enam bulan lalu bagi memastikan keadilan dapat dilaksanakan kepada mangsa.
Beliau turut meminta semua pihak berhenti membuat spekulasi kerana kes berkenaan melibatkan seorang kanak-kanak istimewa manakala tertuduh pula adalah ibu bapa mangsa sendiri.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa
| ARTIKEL BERKAITAN
- Ibu bapa Zayn Rayyan direman seminggu
- Ibu bapa Zayn Rayyan ditahan berpandukan risikan – Polis
- [VIDEO] Proses reman kes Zayn Rayyan kecoh, keluarga tuntut keadilan
- [VIDEO] Kes bunuh Zayn Rayyan: Ada percanggahan dalam keterangan ibu, bapa dan saksi – KP Selangor
- Ibu Zayn Rayyan diminta ‘lakonkan semula’ kejadian kehilangan anaknya di kediaman mereka
- Ibu Zayn Rayyan tidak beri pengakuan bersalah, sebaliknya beri keterangan besar – Peguam
- Datuk dan nenek Zayn Rayyan ditahan
- Perkembangan kes Zayn Rayyan: Datuk, nenek mangsa dibebaskan dengan jaminan polis
- Perkembangan kes Zayn Rayyan: Pertuduhan ibu bapa hanya libatkan pengabaian – Peguam
- Perkembangan kes Zayn Rayyan: Ibu bapa mengaku tidak bersalah pertuduhan abai anak, diikat jamin RM10,000 setiap seorang