Tumpuan :
Nasional

Kes pemberi maklumat rasuah diugut bunuh: Polis minta MCMC kesan nombor telefon

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Polis meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengesan individu membuat ugutan kepada seorang pemberi maklumat kes rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata mangsa diugut menerusi satu panggilan telefon di platform WhatsApp menggunakan nombor dari negara lain.

“Kami sudah maklumkan pada MCMC dan akan bekerjasama rapat dengan mereka bagi mengesan pemilik nombor telefon asing berkenaan.

“Buat masa ini mangsa sudah dirakam keterangan dan pihak polis akan merakam keterangan saksi berkenaan,” katanya hari ini.

Terdahulu media melaporkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dilapor tidak menerima aduan rasmi berhubung dakwaan rasuah membabitkan ahli politik terbabit.

Katanya, tiada laporan rasmi dibuat oleh mana-mana pihak termasuk daripada peguam yang mewakili pemberi maklumat berkenaan.

Sebelum itu, media melaporkan terdapat kira-kira lapan rakaman video mengaitkan beberapa ADUN yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit yang diberikan kepada mereka sebagai balasan mendapatkan projek di sebuah negeri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini