KEPALA BATAS: Polis sedang menunggu laporan kimia termasuk Puspakom bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kemalangan maut yang mengorbankan dua guru akibat dilanggar pemandu dipercayai mabuk dalam kejadian Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, sebaik kedua-dua laporan itu diterima pihaknya akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
“Ketika ini, kita sedang tunggu laporan kimia, Puspakom untuk rujuk DPP (Timbalan Pendakwa Raya),” katanya secara ringkas dalam pesanan WhatsApp, di sini, hari ini.
Suspek yang sebelum itu direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes berkenaan dibebaskan dengan jaminan, semalam.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi Sabtu lalu, Muhammed Ahsan Mohamed Ayub, 32 yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bunga dan rakannya, Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi, 31 yang bertugas di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phei Shin maut selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka bertembung dengan pemandu kereta jenis BMW yang hilang kawalan di Jalan Permatang Baru, di sini.
Insiden menyebabkan kedua-dua guru itu mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu BMW berusia 46 tahun tidak cedera.
Hasil ujian pernafasan yang dilakukan ke atas pemandu BMW terbabit mendapati dia memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol.
Sebelum kejadian, dua guru terbabit menghadiri perjumpaan makan malam di sebuah restoran, di sini bagi meraikan seorang rakan mereka yang akan bertukar sekolah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.