
KUALA LUMPUR: Kerajaan berpendirian tidak ada perbezaan dalam formula pencen bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tamat perkhidmatan sebelum dan selepas 1 Januari 2013.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan berpendirian bahawa sudah wujud pelarasan pencen dan pencen veteran yang bersara sebelum Januari 2013 telah diberikan dengan cara serta kadar yang sepatutnya.
“Kaedah pencen bagi pesara sebelum dan selepas 1 Januari 2013 sebenarnya adalah sama.
“Formula kaedah, cara serta kadarnya tidak pernah diubah dan sudah dilaksanakan secara teratur seperti yang diperuntukkan bawah Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah Lain) 1982,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pertahanan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 3 Februari lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Mei depan sebagai tarikh keputusan berhubung rayuan kerajaan, Majlis Angkatan Tentera Malaysia dan dua pihak lain terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pelarasan pencen bagi pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.
Pada 21 Januari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Hashim Hamzah, Datuk Wong Kian Kheong serta Datuk Ismail Brahim, mendengar rayuan itu dan menangguhkan keputusan mereka.
Kerajaan, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Majlis Angkatan Tentera Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman pemula difailkan 50 pesara ATM terhadap perayu berhubung pelarasan pencen bagi mereka yang bersara sebelum 1 Januari 2013.
Pada 5 Februari tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Suzana Muhammad Said, memutuskan semua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 berhak menerima pelarasan pencen mengikut kadar dan kaedah yang digunakan untuk pesara yang bersara selepas tarikh itu.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kes itu membabitkan interpretasi undang-undang, justeru kerajaan memerlukan ketetapan dan pencerahan daripada Mahkamah Rayuan.
“Kerajaan memerlukan panduan dan perintah daripada Mahkamah Rayuan mengenai apakah yang dimaksudkan oleh Mahkamah Tinggi bahawa tidak wujud pelarasan pencen dan apakah yang dimaksudkan dengan cara dan kadar, seperti yang diselaraskan semua pencen pesara selepas 1 Januari 2013,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamed Khaled memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan perintah yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada Mei nanti dipatuhi.
“Saya juga memberi jaminan, sekalipun jika kerajaan menang dalam rayuan ini, pelarasan pencen yang sudah dilakukan pada hari ini tidak akan terkesan atau ditarik balik,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.