Tumpuan :
Nasional

Kes pegawai Imigresen miliki 12 pasport antarabangsa disiasat

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) mengesahkan seorang pegawainya disiasat susulan penemuan 12 keping pasport antarabangsa pada dirinya di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 1 Januari lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kertas siasatan integriti sudah dibuka manakala pegawai terbabit ditukar ke Depoh Tahanan KLIA tetapi belum melaporkan diri hingga kini.

“Proses siasatan integriti masih dilaksanakan secara dalaman oleh Bahagian Integriti Imigresen KLIA,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, laporan polis dibuat pada 7 Januari lalu dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai tindakan jabatan.

Zakaria berkata, pihaknya tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemari nama baik dan imej jabatan.

“Tindakan dan hukuman akan diambil berlandaskan peruntukan undang-undang termasuk tindakan buang kerja jika pegawai terbabit terbukti bersalah.

“Kita mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan salah laku integriti Pegawai Imigresen melalui talian 03-8801246 atau melalui e-mel [email protected],” katanya.

Laporan media sebelum ini menyebut, seorang pegawai imigresen didakwa menyimpan 12 pasport asing di pinggang seluarnya ketika tertidur di tempat kerja dan disyaki mempunyai unsur rasuah.

Perbuatan pegawai berkenaan terbongkar Ketika beliau tidur di Bilik Mesyuarat Pejabat Operasi Terminal 2 di luar waktu rehatnya, sekali gus menimbulkan syak pegawai lain yang membuat laporan polis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini