Tumpuan :
Nasional

Kes pecah masuk kedai emas, suspek potong besi tingkap nako di tandas

JEMPOL: Kejadian pecah masuk sebuah kedai emas di Bahau pagi tadi yang menyebabkan pemiliknya kerugian RM1.08 juta disyaki dilakukan beberapa individu, kata Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook.

Artikel berkitan: Kedai emas dipecah masuk, kerugian dianggar RM1 juta

Jelas beliau, ia berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

Hasil siasatan awal mendapati, suspek masuk ke dalam kedai emas itu dengan cara memotong besi tingkap nako di bahagian tandas.

“Suspek juga memecahkan pintu besi, seterusnya masuk ke bilik kebal.

“Beberapa peralatan diguna untuk memecah masuk, memotong besi dan pintu ditemui di tempat kejadian diambil polis untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Chang Hook berkata, suspek yang belum dikenal pasti itu memakai topi, bersarung tangan dan memakai pelitup muka ketika menjalankan kegiatan itu.

Katanya, siasatan terperinci kejadian itu dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan atau menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Raj Kumar di talian IPD Jempol 06-4582222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Loading...
Terkini