Tumpuan :
Nasional

Kes pecah amanah buat Fazura lebih berhati-hati

“Sejak kebelakangan ini, saya sering berdepan perkara seperti ini (dikhianati) sama ada dengan pekerja atau rakan-rakan” – Fazura. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR : `Bukan satu kes sahaja, ada beberapa kes lain babitkan individu berbeza, kita akan dedah kemudian’.

Itu kata pelakon dan usahawan, Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 40 mengenai kes pecah amanah dalam syarikat diasaskannya membabitkan beberapa kakitangan dan sejumlah wang yang banyak.

Semua kes katanya sudah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Betul, memang ada isu pecah amanah yang sangat-sangat berat. Kes membabitkan kakitangan sementara dengan sejumlah wang yang banyak.

“Saya tidak mahu ulas panjang kerana semua kes ini masih disiasat polis… Insya-Allah kita akan tahu lebih lanjut.

“Saya bukan ingin buka aib sesiapa, cuma perkara ini membabitkan undang-undang dan perbuatan khianat,” katanya pada majlis pelancaran koleksi Aidilfitri Fazura 2023 di sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.

Fazura menyifatkan kejadian pecah amanah membabitkan pekerja sebagai pengajaran buat dirinya untuk lebih berhati-hati pada masa depan.

Malah, insiden itu membuka mata Fazura agar tidak mudah mempercayai individu di sekeliling termasuk sahabat sendiri.

“Apabila berlaku perkara seperti ini, saya sedih… Itulah dia manusia. Mungkin apabila melihat terlalu banyak wang di depan mata, mereka jadi tamak dan hilang pertimbangan.

“Ini menjadi teladan buat saya. Saya harap si pelaku menyesal atas apa yang sudah dia buat.

“Saya sentiasa percaya dan tak pernah bersangka buruk pada orang… Itulah kelemahan saya sebenarnya.

“Sejak kebelakangan ini, saya sering berdepan perkara seperti ini (dikhianati) sama ada dengan pekerja atau rakan-rakan.

“Namun, saya tidak menyesal dengan sikap terlalu percayakan orang itu. Sekurang-kurangnya, saya dapat belajar sesuatu,” katanya

Pemenang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-27 ini pernah membuat laporan polis berhubung isu pecah amanah yang berlaku, Ogos tahun lalu.

Loading...
Terkini