comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes ‘Orang Hilang’ tidak ditutup selagi tidak ditemui – Pengarah JSJ

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain

KUALA LUMPUR: Polis tidak pernah menutup mana-mana kes individu yang dilaporkan hilang atau ‘orang hilang’ (OH) sehinggalah mereka ditemui.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan setiap kes OH atau kanak-kanak yang hilang akan diteruskan walaupun ianya memakan masa yang panjang.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa terus memantau dan menyelia setiap kes OH secara berperingkat dan usaha menjejaki mereka yang hilang ini tidak akan berkesudahan sehinggalah ditemui.

“Meskipun kes OH mencatat peningkatan namun ianya tidak berada pada tahap yang amat membimbangkan pada masa ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, masyarakat terutama golongan ibu bapa dan penjaga disarankan untuk sentiasa memantau aktiviti anak-anak kecil mereka serta mengambil kira faktor keadaan sekeliling mereka.

“Bagi kanak-kanak yang sudah matang, ibu bapa juga disarankan untuk memberi tumpuan terhadap penggunaan gajet elektronik yang digunakan serta mengambil tahu tentang aplikasi media sosial yang dilewati.

“Ini kerana, apabila terlalu banyak butiran maklumat peribadi dikongsi dalam media sosial, ianya adalah salah satu risiko yang bakal dihadapi oleh kanak-kanak dan orang dewasa sebagai mangsa. Mereka mudah ditipu dan diperdaya oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Menggunakan media sosial secara lebih bertanggungjawab adalah salah satu kemestian selain sentiasa berwaspada bagi meminimumkan risiko menjadi mangsa culik, tipu dan pelakuan jenayah,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama antara masyarakat dan agensi penguatkuasa yang berkaitan dalam konteks perkongsian maklumat adalah penting dalam menyelesaikan semua bentuk siasatan selain kes OH.

“Sebagai contoh, talian dan aplikasi Nur Alert yang diwujudkan oleh kerajaan adalah salah satu bentuk kerjasama semua agensi berkaitan.

“Siasatan terhadap kanak-kanak hilang boleh dipercepatkan dengan menyebarkan maklumat mengenai kehilangan kanak-kanak terutama mereka yang berumur di bawah 12 tahun dan maklumat akan diedarkan kepada 40 anggota Nur Alert yang terdiri daripada kakitangan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO),” katanya.

Katanya, setiap agensi akan menyebarkan amaran kepada pelbagai medium termasuk agensi media cetak dan elektronik serta media sosial dan amaran sama akan dikeluarkan selepas mendapat persetujuan daripada ibu, bapa atau penjaga kanak-kanak terbabit.

Bagi remaja di bawah umur 18 tahun, maklumat kehilangan mereka akan dipaparkan di Portal Kanak-Kanak Hilang, yang boleh diaries melalui laman Web rasmi PDRM.

“Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan kanak-kanak diperingkat ini boleh menyalurkan sebarang informasi berdasarkan butiran yang disiarkan di portal supaya tindakan segera dapat diambil.

“Sekiranya membabitkan warga asing, butiran kanak-kanak itu akan dikongsi dengan pihak Polis Antarabangsa (INTERPOL) atau Polis ASEAN (ASEANAPOL) yang turut terbabit dalam mengesan dan mencari mangsa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini