PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini dalam keputusan majoriti 2-1 mengembalikan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan kewujudan Titah Adendum Diraja kepada Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Rayuan hari ini memulakan prosiding bagi mendengar rayuan Najib berhubung dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum, dengan pendengaran permohonan pihak pembelaan mengemukakan bukti tambahan.
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril mendengar hujahan daripada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.
Najib, 71, memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.