comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes murid “dikurung” selesai – Fadhlina

Foto: Fadhlina Sidek/Facebook

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan menganggap kes kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun yang dikurung di dalam sangkar di sebuah sekolah di Rembau, Negeri Sembilan kerana berkelakuan buruk sebagai selesai.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, perkara tersebut telah pun diselesaikan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

“Alhamdulillah, penyelesaian secara baik dapat dicapai mengenai perkara itu antara pihak sekolah dan ibu bapa murid berkenaan.”

“Perkara itu telah diselesaikan di peringkat jabatan dan kami menganggap ia selesai,” katanya kepada media selepas program Qurban Perdana Nibong Tebal di Masjid Jamek Al Huda Sungai Bakau di sini, hari ini.

Baru-baru ini, heboh di media sosial berhubung kisah seorang murid Tahun Satu yang dikurung dalam sebuah bilik berpagar besi yang kelihatan seperti penjara.

Murid tersebut dikatakan telah dihukum oleh gurunya, selepas cuba melondehkan seluar rakan sekelasnya.

Susulan itu, bapa murid terbabit yang enggan namanya didedahkan, telah pun meminta maaf kepada ibu bapa rakan sekelasnya atas gurauan anaknya yang melampaui batas itu.

Ketika ditanya sama ada tempat murid itu dikurung merupakan satu tempat yang berbahaya kerana berhampiran dengan sebuah kotak elektrik, kata Fadhlina perkara itu telah diambil kira dalam konteks siasatan.

“Ketika kes disiasat oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, kesemua perkara itu telah diambil kira.

“Selain itu, tindakan (seperti yang saya nyatakan tadi) telah dilakukan. Jadi tindakan itu akan memastikan keselamatan bukan sahaja kepada murid-murid, tetapi juga untuk pihak sekolah,” tambahnya.

Ditanya sama ada keluarga murid tersebut menerima penyelesaian yang diberikan, Fadhlina menjawab; “Penyelesaian yang diberikan merupakan sesuatu yang baik dan ini juga merupakan sebuah pengajaran penting kepada kita sebagai masyarakat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua atas keprihatinan mereka, dan insya Allah, dari masa ke masa, kita akan terus menambah baik ekosistem sistem pendidikan untuk menjadikannya lebih baik,” katanya.

Loading...
Terkini