comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kes menantu Muhyiddin: Permohonan notis merah INTERPOL ada masalah teknikal

 

KUALA LUMPUR: Terdapat masalah teknikal dalam permohonan mendapatkan notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap menantu bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan peguamnya.

Difahamkan, tindakan itu belum dapat diselesaikan membabitkan maklumat peribadi lengkap individu berkenaan dan kesalahan yang dilakukan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya diminta melengkapkan maklumat yang diperlukan Polis Antarabangsa (Interpol) sebelum notis merah boleh dikeluarkan.

“Ada lagi beberapa perkara teknikal yang kita sedang tunggu daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melengkapkan permohonan notis merah itu.

“Apabila sudah lengkap, ia akan diserahkan kepada Interpol untuk pengumuman rasmi notis merah,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan SPRM memohon kepada PDRM untuk memasukkan nama dua individu termasuk menantu Muhyiddin ke dalam senarai notis merah selepas gagal tampil untuk menghadapi pendakwaan.

Menantu Muhyiddin iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, 48, dan Mansoor Saat, 69, disyaki terbabit kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Kedua-dua mereka dipercayai melarikan diri dari negara ini pada Mei lalu.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan kes membabitkan peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan yang ditahan dan hartanya bernilai RM93.2 juta yang disita PDRM sebelum ini, Ayob berkata, siasatan kes selesai.

Menurutnya, kertas siasatan sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

“Mengenai beberapa harta di luar negara yang akan disita, kita (PDRM) dalam proses dapatkan semula harta itu,” katanya.

Difahamkan, ia membabitkan beberapa aset dan hartanah milik Jasmine di Amerika Syarikat antaranya kondominium bernilai RM21 juta, sembilan lukisan termasuk Pablo Picasso (RM8 juta) dan RM23 juta dalam akaun bank serta sebuah kondominium di London bernilai RM12 juta.

Sebelum ini, PDRM sudah merampas dan menyita aset yang diperoleh Jasmine hasil daripada penyelewengan dana 1MDB dan hadiah daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low bernilai RM93.2 juta.

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Loading...
Terkini