Oleh: Safwan Sawi
KENINGAU: Seorang lagi kanak-kanak yang hilang selepas terjatuh di Sungai Pegalan, berhampiran Kampung Lingkudau, di sini ditemui lemas petang tadi.
Mangsa Arlina Jabar, 9 tahun, ditemui 13.55 kilometer (km) dari lokasi mangsa dipercayai jatuh, jam 6.15 petang.
Sebelum ini, kakak Arlina iaitu Azila, 12, yang turut hilang ketika cuba menyelamatkan adiknya itu ditemui lemas pada Selasa lalu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata mangsa ditemui oleh orang awam pada jarak 13.55 km dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
“Pasukan Bomba bersama PDRM ke lokasi mangsa di Lubuk Lintong, 13.55 KM dari lokasi mangsa dipercayai jatuh.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 malam.
Operasi SAR yang memasuki hari keempat itu membabitkan radius pencarian sejauh tujuh kilometer dari lokasi mangsa dipercayai tenggelam menggunakan dua buah bot milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Sabah.
“Pasukan Bomba bersama PDRM sedang menjalankan operasi Surface Searching di sekitar kawasan mangsa dilaporkan lemas.” kata kenyataan itu.
Operasi SAR turut disertai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM yang menjalankan operasi pencarian dengan melakukan selaman.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 5 petang Isnin lalu, Azila dan adiknya Arlina dipercayai bermain berhampiran tebing sungai berkenaan sebelum Arlina dikatakan terjatuh ke dalam sungai.
Kakaknya kemudian terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan Arlina, namun kedua-duanya kemudian dilaporkan tenggelam.
Bantuan pencarian di Jawa Sembiling turut dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom pada jarak tiga kilometer menyusuri tebing sungai.