KOTA BHARU: Kes khalwat dan remaja mengandung luar nikah di negeri ini mencatatkan penurunan sejak tiga tahun lalu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), sebanyak 146 kes remaja berusia 15 hingga 19 tahun yang mengandung luar nikah pada 2021.
“Angka itu menurun menjadi 136 pada 2022 dan terus mencatatkan penurunan kepada 61 tahun lalu.
“Begitu juga dengan kes khalwat yang merekodkan sebanyak 196 kes pada 2022 dan menurun kepada 86 tahun lalu,” katanya ketika ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Mohamed Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan berkata, untuk memerangi isu gejala sosial, kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa induk yang turut dianggotai agensi lain termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Menurutnya lagi, sembilan kluster dipecahkan untuk usaha memerangi gejala sosial di Kelantan dan pihaknya mempunyai peruntukan khusus bagi kelancarannya.
“Pelbagai penganjuran program diadakan menerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita serta Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat yang memberi banyak impak positif.
“Isu gejala sosial di mana-mana pun ada tapi Alhamdulillah, semua usaha yang kita buat setakat ini ada kesannya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.