Tumpuan :
Nasional

Kes keracunan makanan: Polis tunggu laporan kimia 

Foto hiasan

GOMBAK: Polis masih menunggu laporan kimia bagi melengkapkan siasatan kes keracunan makanan menyebabkan dua kematian selepas makan makanan dibawa pulang dari sebuah program sekolah agama di Gombak pada 10 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kertas siasatan kes itu sudah lengkap dan hanya menunggu laporan berkenaan.

“Secara keseluruhan, seramai 22 individu diambil keterangan bagi siasatan kes.

“Ketika ini, kita (polis) masih menunggu laporan kimia yang kebiasaannya akan mengambil masa kira-kira sebulan. Sebaik diperoleh ia akan diteliti untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bayi perempuan 19 bulan dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dilaporkan maut selepas mengalami keracunan makanan dipercayai selepas makan makanan dibawa pulang dari sebuah program sekolah agama di Gombak.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan seramai 82 daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ummi Kalthom Shamsudin dilaporkan berkata, keracunan makanan itu disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa sudah berubah rupa dan rasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini