comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes keracunan makanan: 13 orang sudah diambil keterangan

Foto hiasan

 

GOMBAK: Lima lagi individu diambil keterangan bagi siasatan lanjut berhubung kes keracunan makanan yang menyebabkan dua kematian, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, secara keseluruhan 13 individu diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan setakat ini.

“Terbaru, lima individu diambil keterangan adalah ahli keluarga, doktor patologi dan pramusaji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, polis mengambil keterangan lapan individu terdiri daripada pihak penganjur, ahli jawatankuasa, pengetua dan penyedia makanan.

Noor Ariffin dilaporkan berkata, dua laporan polis diterima membabitkan kes keracunan makanan itu.

Beliau dilaporkan berkata, mangsa lain yang mengalami keracunan makanan sedang dikenal pasti untuk dirakam percakapan.

Terdahulu, polis mengesahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan remaja 17 tahun maut dipercayai akibat keracunan daripada makanan yang disediakan di sebuah sekolah di sini pada Isnin lalu.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan seramai 82 daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan selepas memakan sarapan pagi pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) Peringkat Daerah Gombak.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ummi Kalthom Shamsudin dilaporkan berkata, keracunan makanan itu disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa sudah berubah rupa dan rasa.

Loading...
Terkini