![](https://media.buletintv3.my/2025/02/e1a89f09-91cd-4a13-9d70-93a0e3a3e574.jpg)
SUNGAI PETANI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan akan melakukan siasatan secara telus berhubung kes kematian seorang tahanan Penjara Taiping bulan lalu, dipercayai akibat dipukul.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan menyeluruh akan dilakukan dengan kerjasama penuh daripada Jabatan Penjara.
“Polis sudah membuka kertas siasatan dan sedang menjalankan siasatan menyeluruh.
“Proses ini termasuk mengambil keterangan daripada semua yang terlibat, sama ada prospek mahupun pegawai penjara yang bertugas pada hari kejadian. Proses siasatan ini masih lagi berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Prospek Sempena Thaipusam dan Lawatan Kerja ke Penjara Sungai Petani di sini, hari ini.
Jabatan Penjara sebelum ini mengesahkan berlaku kejadian provokasi di Penjara Taiping pada 17 Januari lalu yang menyebabkan seorang banduan meninggal.
Ia turut memaklumkan insiden berkenaan membabitkan prospek yang dipindahkan dari Pusat Koreksional Batu Gajah ke Penjara Taiping.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat sebelum ini turut dilaporkan berkata pihaknya menerima aduan kes kematian itu pada 17 Januari lalu dan pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga sudah memanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memberikan maklum balas berkaitan insiden terbabit.
Katanya, dalam masa yang sama Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus turut menghubungi beliau untuk menyatakan hasrat berjumpa dengan pihak terbabit.
“Kita akan beri kerjasama penuh, tetapi proses ini perlu dilakukan secara tertib dan berperingkat.
“Apa yang penting Jabatan Penjara sentiasa menjalankan tanggungjawab dengan baik dan memberi kerjasama penuh kepada semua pihak berkepentingan dalam menyiasat insiden ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.