Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Universiti Malaya telah membuat laporan polis berhubung insiden seekor kucing yang ditemui mati dalam kawasan kampusnya, hari ini.
Menerusi satu kenyataan hari ini, UM memaklumkan pihaknya amat prihatin terhadap perkembangan membabitkan kematian ngeri beberapa ekor kucing sekitar kampus serta komited untuk memastikan kawasan kampus menjadi persekitaran yang selamat.
UM memaklumkan ia merupakan kes kedua yang berlaku, dan langkah terbabit diambil untuk membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut serta memastikan tindakan diambil sekiranya terdapat unsur penganiayaan oleh manusia.
UM juga berkata pada Ogos lepas, pihaknya meluluskan penubuhan ‘Universiti Malaya Animal Guardians’, satu inisiatif yang bertujuan menangani isu haiwan terbiar dalam kampus.
Sebelum ini, media melaporkan dua ekor kucing ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.