Tumpuan :
Nasional

Kes kematian anak KPD Lahad Datu diklasifikasikan mati mengejut

KUALA LUMPUR: Kes kematian anak Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu, Sabah semalam diklasifikasikan sebagai kematian mengejut atau SDR.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais, berkata pihaknya tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kes berkenaan.

Sehubungan itu, katanya kes ini diklasifikaskan sebagai kematian mengejut (SDR) dengan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Tiada sebarang tangkapan setakat ini disebabkan tiada unsur jenayah yang melibatkan orang lain dalam kes ini.

“Bagaimanapun, pihak polis merampas sepucuk pistol semi automatik jenis Walther P99 yang dikaitkan dalam kejadian ini untuk siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihak polis masih menunggu keputusan bedah siasat berhubung punca sebenar kematian mangsa kerana proses itu masih dijalankan.

Tambah Shahurinain, seramai tiga saksi sudah pun dirakam keterangan untuk membantu siasatan polis namun enggan mendedahkan identiti mereka.

Media sebelum ini melaporkan anak perempuan KPD Lahad Datu maut dipercayai tertembak diri sendiri secara tidak sengaja menggunakan pistol milik bapanya di rumah mereka di Taman Tabanak, Lahad Datu.

Mangsa berusia 14 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik dalam rumahnya, pada jam 12.42 tengah hari.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata kakak mangsa berusia 16 tahun adalah individu yang menemui mangsa dan polis masih menyiasat bagaimana kejadian itu boleh berlaku.

“Kakak mangsa adalah satu-satunya individu yang menemui adiknya itu terbaring di dalam bilik berkenaan selepas pulang dari sekolah.

“Ketika kejadian, bapa mangsa pula berada di Kinabatangan, Sabah, atas urusan perpindahan rumah kerana baru berpindah selepas dinaikkan pangkat,” katanya.

Pada 1 April lalu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail dilantik menjadi KPD Lahad Datu menggantikan Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad yang sebelum ini menyandang jawatan itu sejak November 2020.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini