KUALA LUMPUR: Seperti mana hasil bedah siasat sebelum ini, polis juga tidak menemui unsur jenayah dalam kes kematian penyanyi Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, yang ditemui di Sungai Klang, 14 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata hasil siasatan terkini Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) konsisten seperti laporan bedah siasat Hospital Shah Alam.
“Kes kematiannya kekal seperti yang diumumkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, sebelum ini yang mengklasifikasikan kes sebagai Kematian Mengejut (SDR).
“JSJ masih meneruskan siasatan termasuk meneliti dan melawat semula lokasi kejadian sekiranya wujud unsur jenayah,” katanya selepas menghadiri Kursus Behavioral Science di Maktab Polis Diraja Malaysia, di sini, hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, kehadiran pegawai penyiasat ke lokasi adalah bagi meneliti jika ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau saksi yang boleh membantu siasatan.
“Sekiranya ada petunjuk, kami akan mengumpul segala bukti dan mengklasifikasi semula kes berkenaan,” katanya.
Nidza Afham dipercayai keluar berjoging di Stadium Sultan Suleiman, Klang bersendirian sebelum kehilangannya disedari pada jam 9 malam, 13 Ogos lalu.
Mayatnya ditemukan di Sungai Klang pada petang 14 Ogos lalu, manakala dompet dan telefon bimbitnya dikesan berada di tepi Jambatan Sungai Klang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Kematian Afham: Proses bedah siasat jenazah bermula pagi ini
- Tolong, jangan kongsi gambar arwah abang saya – Aufahanie
- Mayat lelaki dijumpai di sekitar Jambatan Sungai Klang
- Allahyarham Afham suka bantu, berkongsi ilmu – Rakan
- Kes kematian Afham: Keputusan bedah siasat ‘Pending Laboratory Investigation’