Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menerima pelaporan kes kekerasan di tempat kerja sama ada serangan fizikal, verbal, seksual mahupun bertulis terhadap warga kerjanya meningkat sejak 2017.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan, sebanyak 167 kes dilaporkan pada 2017 dan meningkat kepada 442 kes serta 494 kes masing-masing pada 2018 dan 2019.
Beliau berkata, semasa fasa pandemik COVID-19, sebanyak 321 kes kekerasan dilaporkan pada 2020 dan 260 kes pada 2021.
“Kekerasan terhadap warga KKM memberi kesan negatif terhadap keselamatan dan kesihatan psikologi serta fizikal, seterusnya menjejaskan prestasi kerja.
“Ini boleh menjejaskan kualiti penjagaan perubatan dan menyebabkan kerugian dari aspek perbelanjaan dalam sektor kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Muhammad Radzi berkata, sempena Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Peringkat Kebangsaan, Garis Panduan Mencegah dan Menangani Kekerasan Terhadap Warga Kerja KKM di Fasiliti Kesihatan Edisi ke-2 dilancarkan hari ini dalam usaha mewujudkan tempat kerja yang selamat, sejahtera serta produktif.
Menurutnya, garis panduan itu adalah penambahbaikan garis panduan sedia ada dari segi definisi, skop, pengendalian kes kekerasan dan proses notifikasi.
Edisi pertama Garis Panduan Mencegah dan Menangani Kekerasan Terhadap Anggota di Fasiliti KKM telah diterbitkan pada 28 April 2017.
“Melalui garis panduan terbaharu ini, kekerasan terhadap warga KKM diharap dapat ditangani dengan lebih berkesan serta memastikan keselamatan serta kesejahteraan tempat kerja di KKM terpelihara.
“Ini juga menunjukkan komitmen pengurusan atasan KKM dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga kerja KKM, dan pada masa yang sama mutu penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan terbaik dapat disampaikan kepada pelanggan sekiranya gangguan seumpama ini terhadap warga KKM dapat dikurangkan,” katanya.