comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes kehilangan berakhir dengan pembunuhan kejam

Oleh: Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: Sebahagian besar kes kehilangan individu yang dilaporkan sejak penghujung tahun lalu berakhir dengan penemuan yang tragis. Hasil siasatan polis terhadap kehilangan ramai mangsa turut mendedahkan ia berakhir dengan pembunuhan kejam.

Berikut merupakan kes orang yang dilaporkan hilang dan berakhir dengan tragedi yang menyayat hati:


Zayn Rayyan

Zayn Rayyan

Kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, dilaporkan hilang selepas bermain di taman permainan berhampiran rumahnya di Damansara Damai pada 5 Disember 2023.

Pada 6 Disember, jasad Zayn Rayyan ditemui di aliran anak sungai kira-kira 200 meter dari kediamannya pada jam 10 malam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengklasifikasikan kematian Zayn Rayyan sebagai kes bunuh selepas hasil bedah siasat mendapati terdapat kecederaan di leher dan badan kanak-kanak itu.

Susulan itu, ibu bapa mangsa ditahan bagi membantu siasatan dan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas dakwaan mengabaikan mangsa.

Pada 18 September lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan perbicaraan ibu bapa Zayn Rayyan atas pertuduhan pengabaian bermula Januari tahun depan.


Istiqomah Ahmad Radzi

Istiqomah Ahmad Radzi

Seorang guru wanita di Johor Bahru dilaporkan hilang pada 26 Disember 2023 selepas gagal pulang ke rumah. Laporan berhubung kehilangannya diterima polis keesokan harinya.

Pada 27 Disember 2023, kenderaan milik mangsa ditemui di luar sebuah pasar raya di Kota Masai pada jam 2 petang.

Susulan itu, mayat tanpa kepala ditemui dengan bahagian badan disumbat dalam plastik dan tong sampah serta dibuang di dalam longkang tepi jalan di Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka, dan polis mula melakukan ujian DNA terhadap waris mangsa.

Pada 12 Ogos 2024, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, memaklumkan mayat tanpa kepala, badan, dan tangan yang ditemui dalam tong sampah pada 31 Disember lalu, disahkan milik Cikgu Istiqomah Ahmad Rozi.

Sepasang suami isteri berumur 36 dan 37 tahun yang ditangkap di Chemor, Perak, ditahan reman oleh Polis Melaka untuk membantu siasatan.


Nur Farah Kartini Abdullah.

Nur Farah Kartini

Nur Farah Kartini, 25, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) dengan Kepujian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang wanita dipercayai pelanggan di Tanjung Malim, kira-kira jam 8 pagi pada 10 Julai 2024.

Mangsa kemudian didakwa menaiki sebuah kereta berwarna merah yang tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftarannya dan jenis kenderaan.

Pada 15 Julai, polis mengesahkan penemuan mayat seorang wanita dipercayai Nur Farah Kartini di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang, dan mangsa dipercayai dibunuh oleh individu yang dikenalinya.

Polis melaporkan telah menahan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal, Muhammad Alif Monjani, 26, untuk membantu siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah Kuala Kubu Bharu pada 30 Ogos menetapkan 7 Oktober 2024 untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen bedah siasat.


Nuraina Humaira.

Nuraina Humaira

Seorang kanak-kanak perempuan, Nuraina Humaira, 10, dilaporkan hilang pada 16 Ogos 2024. Mayatnya dijumpai pada 17 Ogos 2024 di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak, pada jam 4.20 petang.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata polis tidak menolak kemungkinan mangsa yang mempunyai masalah pendengaran dan lembam dirogol sebelum dibunuh, susulan penemuan kesan koyakan pada kemaluan mangsa.

Rentetan itu, pada 18 Ogos 2024, polis menahan seorang remaja Orang Asli berusia 17 tahun untuk membantu siasatan. Suspek didakwa pada 27 Ogos 2024 di Mahkamah Majistret Sungai Siput, Perak.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia, ujian DNA, patologi, dan laporan prestasi pelajar.


Sabari Baharom.

Sabari Baharom

Pada 3 September 2024, Sabari, 62, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kuala Pegang, Baling, Kedah. Kehilangannya disedari oleh ahli keluarga yang menyangka mangsa berkunjung ke rumah rakan atau saudara mara. Namun, telefon bimbit mangsa gagal dihubungi.

Pada 24 September 2024, ahli keluarga dimaklumkan mengenai penemuan kereta Sabari, jenis Proton Waja, yang ditemui dalam keadaan terbakar di Belantik, Sik, dan polis menahan seorang wanita berusia 62 tahun bagi membantu siasatan berhubung kehilangan mangsa.

Polis turut menangkap dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun yang disyaki terlibat dalam kehilangan mangsa.

Hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku bahawa mangsa telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang, Kubang Pasu, Kedah, dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

Operasi pencarian jasad mangsa dimulakan pada 30 September 2024 di sepanjang Sungai Padang Terap, dari Jambatan Kampung Empa hingga ke Jambatan Lubuk Batu dan Jambatan Kepala Batas.

Pada 3 Oktober 2024, operasi pencarian selama tiga hari ditamatkan setelah tiada sebarang petunjuk ditemui.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini