Tumpuan :
Nasional

Kes keganasan babitkan mangsa lelaki catat lonjakan ketara – Nancy Shukri

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kes keganasan didapati turut menjejaskan golongan lelaki dengan jumlah kes sedemikian direkodkan pada tahap membimbangkan.

Perkembangan itu didedahkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri di sini, hari ini.

Bercakap pada sidang media, Nancy berkata jumlah kes keganasan membabitkan lelaki mencatatkan lonjakan ketara, biarpun masih ramai tidak tampil melaporkan kejadian sedemikian.

Beliau berkata, lebih 1,000 kes gangguan seksual membabitkan lelaki direkodkan selepas kementerian menjalankan program advokasi antikeganasan seksual, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Santubong itu turut mendedahkan kebanyakan kes keganasan dalam kalangan lelaki berlaku membabitkan individu sama jantina.

“Kementerian sebelum ini hanya merekodkan belasan kes sahaja, tetapi ia meningkat kepada lebih 1,000 kes selepas program advokasi berkenaan dianjurkan.

“Ramai lelaki enggan melaporkan (kes keganasan) dan mereka tidak mengadu kepada polis, sebaliknya tampil membuat aduan di kaunter pusat sokongan sosial (PSS).

“Jumlah ini membimbangkan sekali gus menunjukkan lelaki juga terancam (dengan keganasan). Justeru kita mahu mereka tampil membuat laporkan.

“Kita maklum kes sedemikian perlu ditangani, namun ia bukan terhad kepada kementerian ini sahaja, sebaliknya perlu turut membabitkan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Terdahulu, beliau mengiringi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul merasmikan Kempen Menangani Keganasan terhadap Wanita dan Kanak-Kanak Perempuan di Lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Nancy berkata Kempen Menangani Keganasan terhadap Wanita dan Kanak-Kanak Perempuan diadakan setiap 25 November selaras resolusi ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata, penganjuran kempen itu bertujuan mengatasi lonjakan kes keganasan, terutama membabitkan kanak-kanak perempuan selain memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Kita pun tidak tahu sama ada statistik sedia ada mencerminkan jumlah sebenar kes keganasan di negara ini kerana ramai yang enggan tampil melaporkannya kepada pihak berkuasa.

“Masih ramai khuatir mereka atau anak akan hilang tempat bergantung, jika melaporkan kes keganasan kepada pihak berkuasa.

“Namun, kita akan berterusan menganjurkan program kesedaran ini supaya rakyat tahu ada bentuk keganasan, membabitkan fizikal, seksual, ekonomi dan psikologi.

“Ini juga akan menjadi platform untuk memupuk kesedaran, terutama mangsa supaya tahu yang mereka tidak bersendirian. Kita ada di sini untuk membantu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini