IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun ditemukan lemas oleh abangnya dalam kolam renang yang terletak di tepi kediaman jiran di Tambun, petang semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejadian itu adalah kes keempat kematian akibat lemas membabitkan kanak-kanak di bandaraya ini akibat ditinggalkan ibu bapa atau penjaga tanpa pengawasan sepatutnya.
Kematian kanak-kanak terbabit disahkan pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas dijumpai oleh abang mangsa dalam keadaan terapung dalam kolam renang jam 6.30 petang semalam.
Siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa bersama ibunya berada di dalam rumah lot berkenaan kerana menziarahi ahli keluarga, manakala bapa mangsa keluar menghantar saudara balik ke tempat penginapan lain.
“Mangsa dijumpai oleh abangnya dalam keadaan terapung di dalam kolam renang kanak-kanak sebelum dihantar oleh warisnya ke HRPB untuk rawatan.
“Pada jam 9.25 malam tadi, polis menerima maklumat daripada pihak HRPB kematian kanak-kanak itu akibat lemas. Bedah siasat oleh Jabatan Forensik pada hari ini turut mendapati punca kematian mangsa adalah lemas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 33(1) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) iaitu kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Pada 26 April lalu, media melaporkan seorang perempuan berusia 21 bulan ditemui lemas dalam kolam renang kanak-kanak ketika datang menziarahi bersama ibu dan bapanya ke kediaman datuk mangsa di Tambun.