comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes guru wanita ‘bercinta’ dengan pelajar disiasat polis

Foto hiasan

SEPANG: Polis mengesahkan menerima laporan daripada keluarga remaja lelaki berusia 17 tahun yang didakwa menjalinkan hubungan dengan gurunya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, laporan polis dibuat Disember tahun lalu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya, semua pihak yang terbabit sudah dipanggil merakam percakapan termasuk remaja dan guru berkenaan.

“Polis sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14, Akta Kesalahan Seks Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Siasatan masih berjalan yang mana kertas siasatan dihantar ke Bukit Aman sebelum diarahkan meneruskan siasatan,” katanya.

Terdahulu, individu yang mendakwa sebagai saudara mangsa menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaannya berhubung kes itu.

Dalam luahannya di aplikasi X itu, dia memberitahu, ibu mereka sudah membuat laporan polis serta laporan berasingan kepada Pejabat Pendidikan Daerah.

Walaupun guru itu dipindahkan ke sekolah lain, namun mereka mendakwa guru terbabit dan adiknya masih berhubung dan pernah bertemu di pantai secara rahsia.

Bagaimanapun, dia kemudian menurunkan hantaran itu, yang menjadi tular.

Sementara itu, ibu remaja terbabit ketika dihubungi memaklumkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah menghubungi untuk mengadakan pertemuan selepas kejadian itu tular.

“Kejadian itu berlaku sudah lama dan saya ingatkan guru terbabit sudah insaf namun tak sangka dia masih berhubung dengan anak saya.

“Selepas kisah ini tular, pihak menteri sudah menghubungi untuk mengadakan pertemuan dan Insya-Allah saya akan maklumkan fakta sebenar apa yang berlaku,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini