JOHOR BAHRU: Dua individu terbabit dalam insiden pergaduhan berkumpulan di sebuah kedai makan di Taman Impian Emas di sini, Jumaat lalu, ditahan dalam dua serbuan berasingan, awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, suspek pertama berusia 40 tahun ditahan sepasukan polis dari D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah JBU di tepi Jalan Putih, Skudai pada 12.15 tengah malam.
Katanya, susulan penahanan suspek pertama, suspek kedua yang berusia 38 tahun ditahan di sebuah rumah di Kota Masai dekat Pasir Gudang pada jam 1 pagi.
“Kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka direman selama empat hari sehingga Rabu ini.
“Pihak polis masih giat mengesan semua suspek terbabit yang masih bebas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Balveer Singh menasihatkan orang ramai supaya tidak gusar dengan kejadian ini dan pihaknya akan melakukan siasatan telus tanpa kompromi.
Pada insiden 26 Januari lalu, sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menyerbu sebuah restoran di Taman Impian Emas, Skudai di sini, dan menyerang beberapa individu.
Tindakan sekumpulan lelaki berkenaan berlaku dengan pantas dan mereka cepat meninggalkan lokasi sebelum sepasukan polis tiba.
Susulan itu, tular video berdurasi 45 saat di media sosial yang memaparkan kejadian pada 11.50 malam itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.