comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes Faisal Halim: Polis belum dapat pastikan motif kejadian

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: Motif kes simbah asid membabitkan pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim masih belum dapat dipastikan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya sedang berusaha keras dalam menyiasat kes itu, selain mengenal pasti dan menangkap pelakunya.

“Kami melihat kepada skop yang lebih luas dari segi siasatan. Kami juga telah merakam kenyataan beberapa individu di FAM. Setakat ini kami belum mengetahui motif di sebalik ketiga-tiga serangan terhadap pemain bola sepak itu, termasuk Faisal.

“Apa yang kita nampak hanyalah pattern dua hari sekali, dua hari sekali. Pattern tu kita nampak motif kita tak ada. Untuk mengesan pelaku kepada Faisal Halim kita dah buat cap jari negatif, fotofit tidak banyak membantu,” katanya.

Jelas Datuk Seri Mohd Shuhaily, pihaknya juga masih membuat risikan dan mengumpul maklumat berhubung kes itu.

“Kes ini rumit memandangkan kita kekurangan saksi awam dan bebas yang boleh membantu kami. Ia adalah satu cabaran dan kami tidak akan berhenti sehingga keadilan ditegakkan,” jelasnya.

Mengulas dakwaan bahawa polis tidak mengemas kini siasatan kes Faisal secara konsisten, beliau berkata pihaknya akan menyemak dengan polis Selangor mengenai perkara itu.

“Dari segi hasil siasatan, tiada apa yang perlu dikemas kini. Namun begitu, kami akan berjumpa dengan Faisal tidak lama lagi,” katanya.

Dalam kejadian 5 Mei lalu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali yang turut menyebabkan kecederaan pada badannya.

Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pusat membeli-belah di Kota Damansara kira-kira jam 5 petang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini