![](https://media.buletintv3.my/2023/10/8Olzd4DA-BULETIN-TV3-2.jpg)
KUALA LUMPUR: Satu siasatan dan pemeriksaan terperinci berkait kes kemalangan dihempap tiang gol di sekolah perlu dilaksanakan.
Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), Shahronizam Noordin berkata, ia agar penambahbaikan yang tepat dapat dilakukan bagi mencegah berulangnya tragedi dihempap tiang gol.
Menurutnya, jika diperhatikan, kes kemalangan yang hampir setiap tahun berlaku ialah dihempap tiang gol dan kebanyakannya melibatkan kematian.
“Mac, April, 2000 – maut; Januari, 2008 – maut; November, 2010 – maut; September, 2011 – maut; Julai, 2013 – maut; April, 2014 – maut; Julai, 2016 – maut; September, 2018 – maut dan Oktober, 2022 – maut.
“Terkini masih juga berlaku. Apakah punca sebenarnya yang boleh menyebabkan kemalangan? Adakah berpunca dari perilaku tidak selamat atau keadaan tidak selamat seperti rekabentuknya?,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sebelum ini dilaporkan, seorang murid berusia 11 tahun meninggal dunia selepas ditimpa besi palang gol ketika aktiviti kokurikulum bersama rakan sekelasnya di Sekolah Kebangsaan St Anthony, Bintulu.
![](https://media.buletintv3.my/2023/10/OJQRofPb-BULETIN-TV3-4.jpg)
Mengulas lanjut, Shahronizam juga mencadangkan perkara yang perlu dipertimbangkan bagi merekabentuk dan menggunakan tiang gol.
Katanya, antaranya adalah dengan memastikan reka bentuk bingkai tiang gol yang selamat.
“Ia mestilah cukup selamat untuk menahan sebarang hentakan bola agar tidak tumbang. Mempunyai sudut yang betul agar dapat seimbang dengan pemberat,” katanya.
Selain itu katanya, jaring juga hendaklah dipasang pada bingkai tanpa tegang.
“Dan tali penegang atas hendaklah dipasang pada jaring supaya ia tidak tertanggal. Jaring yang dipasang hendaklah bebas, supaya apabila bola masuk ke dalam tiang gol ia tidak boleh melantun keluar serta merta.
“Ia perlu direka sedemikian supaya tidak mencederakan pemain. Sebarang cangkuk atau bucu tajam yang ada perlu dipasang dengan penutup,” katanya.
Menurutnya, kedudukan tiang gol mestilah tetap kekal, sama ada ia digunakan atau tidak bagi mengelakkan risiko terbalik.
“Begitu juga, ia mestilah dilarang bagi mana-mana orang (murid) untuk memanjat jaring atau bingkai tiang gol.
“Sebelum menggunakan tiang gol, periksa keadaan bingkai dan persekitarannya. Pemeriksaan ini perlu dilaksanakan secara berkala atau sekerap mungkin sebelum digunakan. Jika ia berisiko jangan diguna dan segera dibaiki,” katanya.