KUALA LUMPUR: Nasib pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang berdepan pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella, akan diketahui di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.Sama ada bebas atau bersalah, keputusan akan ditentukan Hakim Izralizam Sanusi pada jam 10 pagi.
Sejak kes itu bermula 30 Mac 2022, antara yang menjadi tumpuan apabila Siti Bainun dikritik netizen kerana diwakili 10 peguam termasuk pembantu daripada lima firma guaman.
Turut menjadi perhatian, apabila mahkamah membenarkan permohonan empat peguam yang dilantik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertindak sebagai peguam pemerhati .
Pada 24 November tahun lalu, Siti Bainun menangis selepas mahkamah memerintahkannya untuk membela diri atas dua pertuduhan berkenaan.
Ibarat ‘jatuh ditimpa tangga’, dua bulan selepas itu, dia sekali lagi menangis kerana seorang demi seorang peguamnya menarik diri sebelum prosiding kes bela diri bermula.
Pada 26 Januari lalu, tertuduh memohon prosiding bela dirinya ditangguhkan sehingga keputusan khidmat peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) diperoleh dan dia memerlukan masa sebulan bagi membuat persiapan akhir.
Bagaimanapun, Hakim Izralizam mengarahkan prosiding bela diri tetap diteruskan dan mengarahkan tertuduh, 31, membaca pernyataan saksinya setebal hampir 200 muka surat agar tidak mengganggu perjalanan kes.
Pada prosiding seterusnya, mahkamah tidak membenarkan Siti Bainun membaca sebahagian besar pernyataan saksinya berkaitan tangkap layar hantaran di media sosial dan beberapa rakaman video Bella, termasuk pada sambutan hari raya.
Tidak lama kemudian, Siti Bainun melantik semula Mohammad Farhan, seorang daripada lima peguam yang sebelum ini menarik diri.
Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan peguam supaya Siti Bainun membaca dua perenggan dalam pernyataan saksinya itu.
Pihak pendakwaan menutup kes itu selepas memanggil 22 saksi manakala pihak pembelaan Siti Bainun menutup kesnya, 9 Mac lalu dengan lapan saksi.
Kes Bella tular di media sosial selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda.