Tumpuan :
Nasional

Kes demam denggi menurun pada ME44, 1 kematian dilaporkan

Foto hiasan

Oleh: Vinsla Santiran

KUALA LUMPUR: Kes demam denggi dilaporkan menurun kepada 1,346 pada Minggu Epidemiologi (ME) 44 bagi tempoh 27 Oktober hingga 2 November lepas berbanding 1,521 pada minggu sebelumnya dengan satu kematian direkodkan akibat komplikasi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME 44 sebanyak 111,250 kes berbanding 100,936 kes bagi tempoh yang sama pada 2023.

“Terdapat 102 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 78 kematian bagi tempoh yang sama pada 2023,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, bilangan lokaliti ‘hotspot’ yang dilaporkan pada ME 44 adalah sebanyak 27 berbanding 38 pada minggu sebelumnya.

Daripada 27 lokaliti yang dilaporkan, 14 di Selangor, masing-masing empat di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya, dua di Perak dan masing-masing satu di Sabah, Pulau Pinang dan Kelantan.

Muhammad Radzi menjelaskan walaupun terdapat penurunan kes denggi ketika ini, masyarakat tidak boleh leka memandangkan Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan makluman mengenai Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula awal November hingga Mac 2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini