Tumpuan :
Nasional

4 kematian akibat demam denggi

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Empat kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-35 tahun 2024 (ME 35/2024) bagi tempoh 25 hingga 31 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, ia menjadikan 88 kematian akibat penyakit itu direkodkan berbanding 57 kematian bagi tempoh sama pada tahun 2023.

“Pada ME 35/2024, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 1,765 kes berbanding 1,980 kes pada minggu sebelumnya.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 96,572 kes berbanding 80,201 kes bagi tempoh sama tahun 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, sebanyak 64 lokaliti hotspot dicatatkan pada ME 35/2024 berbanding 85 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 45 lokaliti dilaporkan di Selangor, tujuh lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing tiga lokaliti di Negeri Sembilan, Kelantan dan Perak serta masing-masing satu lokaliti di Kedah, Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, terdapat dua kes chikungunya direkodkan pada ME 35/2024 menjadikan jumlah kumulatif sehingga kini adalah 70 kes.

Bagaimanapun, tiada wabak chikungunya dilaporkan pada minggu berkenaan.

“Bagi survelan zika, sebanyak 1,834 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel cairan serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan
keputusan adalah negatif,” katanya.

Mengulas lanjut, menurut Dr Muhammad Radzi, risiko penyebaran demam denggi akan meningkat terutama ketika cuti sekolah dan cuti umum disebabkan pergerakan orang ramai.

Justeru, menjelang cuti penggal kedua persekolahan pada minggu depan, beliau menasihatkan masyarakat termasuk pihak sekolah dan kontraktor yang dilantik agar sentiasa memastikan tiada bekas yang boleh menakung air di persekitaran premis yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes sebelum bercuti.

“Rancanglah perjalanan anda dengan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan risiko jangkitan demam denggi.

“Informasi berkaitan penyakit demam denggi serta lokasi wabak dan hotspot boleh dilayari melalui laman sesawang iDengue (https://idengue.mysa.gov.my/).

“Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini