Tumpuan :
Nasional

Kes demam denggi meningkat, 2 kematian direkod

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kes demam denggi meningkat pada Minggu Epidemiologi ke-51 tahun 2024 (ME 51/2024) bagi tempoh 15 hingga 21 Disember lalu, iaitu sebanyak 1,407 kes berbanding 1,384 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, dua kematian akibat komplikasi penyakit itu turut direkodkan berbanding tiga kematian pada minggu sebelumnya.

“Secara kumulatif, jumlah kes demam denggi sehingga kini adalah sebanyak 121,082 kes dengan 116 kematian berbanding 120,418 kes dan 96 kematian untuk tempoh yang sama tahun 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada awal tahun 2024, bilangan kes yang dilaporkan melebihi 3,000 kes seminggu.

Namun, sejak Minggu Epidemiologi ke-44, purata kes mingguan telah menurun dengan ketara kepada sekitar 1,200 hingga 1,500 kes dan berada di bawah paras median lima tahun.

Selain itu, terdapat 18 lokaliti aktif hotspot yang dilaporkan pada ME 51/2024 berbanding 27 lokaliti pada minggu sebelumnya.

Sembilan lokaliti dikenal pasti di Selangor, empat lokaliti di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya (3) serta masing-masing satu lokaliti di Pahang dan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Radzi berkata, penyebaran jangkitan denggi menjadi lebih mudah kerana pergerakan masyarakat yang meningkat ketika cuti persekolahan dan sambutan perayaan.

Ujarnya, risiko itu menjadi lebih tinggi apabila terdapat tempat pembiakan nyamuk Aedes di persekitaran di dalam mahupun luar rumah.

“Oleh itu, sangat penting untuk memastikan rumah sentiasa bebas daripada tempat pembiakan nyamuk dengan melakukan aktiviti Cari dan Musnah secara berkala termasuk membersihkan kawasan yang berpotensi menakung air seperti pasu bunga, tayar terbuang dan bekas plastik,” katanya.

Selain itu, beliau menyeru supaya bahan pembunuh jentik-jentik diletakkan di dalam pam tandas atau bekas tadahan air yang ditinggalkan.

Sebagai langkah pencegahan tambahan, masyarakat boleh menyemak status wabak di kawasan sekitar kediaman atau tempat yang ingin dilawati melalui portal iDengue di https://idengue.mysa.gov.my/.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini